01) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa
perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk
keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
02) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah
siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan
bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah
menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan
rumahtangga..
03) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan
cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.
04) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat
lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan.
Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah
panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang
kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada
apa-apa wahai Rasulullah. Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku
puasa saja hari ini tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah
baginda.
05) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang
memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul
isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteriku
sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku
pukul lah dia. Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a. w. Aku
menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada
anak-anakmu?
06) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling
baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan
tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak
sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.
07) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para
sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain
amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah
sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama
lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu
langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, 'Ya Rasulullah, kami
melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan
sakitkah ya Rasulullah?' 'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan
segar.' 'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh,
kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin
engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas....
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut.
Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi
batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil
itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh
baginda.Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya
makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda
menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan
engkau korbankan demi Rasulmu.
Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai
pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai
hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di
dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'
08) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah
seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.
09) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar
oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan
penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di
dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang
sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke
tuanan.
11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan
sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai
mahupun dalam keseorangan.
12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda
masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus
beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah
bengkak-bengkak.
13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang
tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah
engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?
Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah
seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'
Tidak ada komentar:
Posting Komentar