10 CARA BERBAKTI PADA ORANG TUA
Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan
membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam
meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.
Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa.
Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang.
Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan
memerlukan lebih perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak
terhadap ibu bapa.
1. Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah
kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan
faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung
perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan
kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang
dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
2. Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat
tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab
anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin
keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
3. Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih
sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan
bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang
itu dibalas dengan sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa.
Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati
dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada
mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara
dan mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).
4. Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai
kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan.
Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan
ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental
ibu bapa.
Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai,
dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang
membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu
bapa sendiri.
Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah
penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak
mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan
membesarkan beberapa orang anak.
5. Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak
untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam
bentuk kewangan, tenaga dan masa.
Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan
tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik
berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan
seumpamanya.
Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di
medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar
berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan
disukai oleh Allah??
Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa??
tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya
bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
6. Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan
anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan
perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam
kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di
dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan
di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat
Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan
ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari
kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka
sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa
hidupnya sebelum mati.
7. Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa
ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan
dan jangan membantah permintaan mereka.
Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu
tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap
kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau
kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata
cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka.
Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah
al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara
tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik
berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan
ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk
menjelaskan keadaan sebenar.
8. Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan
anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai
kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu
bapa.
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan,
dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu
bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan
itu.
9. Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan
ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa
berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan
kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka
terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah
jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan
diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan
kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak
tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia
berbakti sepanjang hayatnya.
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa
sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya
semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah
sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.
Subhanallah :)
BalasHapus